Feeds:
Posts
Comments

Kami, Guru Memang Hebat!

Kami, selaku para guru memang hebat. Hebat segenap segi.

Kami datang sekolah waktu dinihari. Gelap pun masih belum mahu pergi. 6.30 pagi sekurang-kurangnya sudah terpacak di bilik guru menyelesaikan tugas-tugas berbaki yang tidak sempat dihabiskan dalam sehari.

Kami pulang dari sekolah mengalahkan orang kerja ofis. 5.30 petang masih berkelintar di tengah padang, dengan setia menjadi pemerhati pelajar-pelajar beraktiviti. Kalau rumah kami jauh, santak ke malam barulah tiba di rumah dengan penat tak terperi. Tapi tugas tak habis-habis lagi. Tanggungjawab pada anak bini dan suami belum terlunasi. Sampai berkelahi suami isteri juga sudah jadi lumrah hari-hari, maklum saja guru sekarang hebat segenap segi, jadi perlu ada jadi korban dan galang ganti. Continue Reading »

Mahu Jadi Super Woman

 

Image

Masih tidak hendak meletak kepala di bantal empuk meski agak kelelahan memandu seawal 7.00 pagi tadi dengan gopoh-gapah ke Pulau Pinang bagi memenuhi panggilan mesyuarat sekolah. Waktu tiba awal jam 9.00 dan sempatlah menikmati sarapan yang dibekalkan oleh suami yang dikasihi lantaran tidak cukup waktu dan serasa mual perut untuk menelan semasa di rumah tadi. Sekadar menjamah dua keping roti dan secawan kopi spirulina sebagai alas perut. Ternyata nasi lemak dan kuih-muih yang dibeli suami itu mampu meredakan sedikit nyanyian dan gendangan bertalu di perut. Terima kasih!

Sendirian begini sering membuat diri bermuhasabah, konon mahu jadi segala yang terbaik. Super woman. Ternyata ia tidak semudah mengarang ayat menjadi tulisan, tidak sewenangnya terlaksana. Ia bukanlah sesempurna jalan cerita yang pernah dikarang dalam cerpen-cerpen atau novel yang berwatak kamil sentiasa. Alangkah indah menjadi sempurna dalam segenap segi, bukan?

Bagaimanapun, kita hanya mampu berusaha. Dan teruskan berdoa.

Ya, mungkin itulah azam baru yang tersemat untuk tahun 2012 akan datang. Juga mengharap ia tidaklah sekadar singgah, kemudian sirna begitu sahaja, tetapi terserap dalam diri sehingga melahirkan tindakan. Insya-Allah. 

 

 

Sore di Muzium Padi

Sebuah sore

selepas hujan teduh

menggilis lecak dan becak

disambut dingin hawa

di Muzium Padi.

 

Di Puncak Gunung Keriang

laksana sepasang merpati

terbang tinggi

melayah rendah sesekali

menghidu padi

menghendap pesawah

membasahkan tanah

dengan kucuran budi.

 

Di Muzium Padi

kita tinggalkan

jejak-jejak empati

masyarakat petani

dan kita galas memori

berdua bersama

di sore yang safi.

Lukisan yang digambarkan dari Puncak Gunung Keriang.

 

Merpati yang terbang tinggi, bersenandung lagu puisi...

Catatan Rasa

HUJAN mencurah-curah sejak tengah hari tadi.

Tiba-tiba sahaja rasa ingin menulis setelah sekian lama tidak mempedulikan laman ini. Entahlah. Sejak bekerja di Pulau Mutiara, masih belum temui ‘mutiara hidup’. Sakit kian menjadi-jadi pula di sini. Sudah berapa kali terpaksa ambil cuti sakit. Ketika menulis ini juga masih dalam keadaan kurang sihat. Sebab itu, ‘mood’ menulis adakalanya tidak terjelma langsung. Cuma menulis untuk beberapa majalah baru. Itu sahaja.

Semoga Allah terus kuatkan saya untuk tempuhi hari-hari yang mendatang di sebuah pulau penuh cabaran. Amin.

Cerpen: Prejudis

Oleh: Juwairiah Md Jamil

PERJALANANNYA sudah memakan masa hampir tiga jam setengah. Urat belikatnya terasa lenguh. Kakinya pula semacam kejur. Ecah lega apabila melihat bas yang dinaikinya membelok ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Dia mahu segera membersihkan diri dan bersolat zohor.

Sebaik keluar dari surau, dia gesit melangkah ke deretan gerai yang menempatkan pelbagai jenis barangan jualan. Namun, matanya lekas teracung pada aneka buah yang pancawarna tersusun elok di atas rak-rak kayu yang disediakan. Dia bercadang mahu membeli sedikit buah-buahan sebagai oleh-oleh.

Sudah hampir setahun dia tidak berkesempatan pulang ke desa. Bukan dia enggan, tetapi tugasnya sebagai aktivis mahasiswa di kampus menyebabkan dia terpaksa mengekang dan memendam buat sementara keinginannya itu. Bersempena dengan cuti pertengahan semester, dia sengaja mengambil peluang untuk menjenguk keluarga di kampung yang sejak akhir-akhir ini kerap benar mengadu rindu.

Dia menapak ke sebuah gerai. Beberapa jenis jambu biji menarik perhatiannya. Antaranya ialah jambu biji delima, jambu biji susu dan jambu biji manis. Marga jambu air seperti jambu mawar dan jambu semarang yang terbungkus elok membuatkan liurnya tambah kecur. Tidak sabar mahu menikmati kerapuhan isinya kala diunggis.

Continue Reading »

Petikan daripada Majalah Fardu Ain keluaran 1:

Cerpen: Penjara Skeptis

Oleh: Juwairiah Md Jamil

LANGIT mengembangkan dadanya yang kebam. Mega kumulus berapungan, tidak menzahirkan isyarat mengandung hujan. Namun, bagi Dzun Nun, hatinya umpama dihempas gelora. Ribut sudah sekian lama membadai tepian rasa.

Dzun Nun leka memerhati itik-itik peliharaan ibunya yang sedang menyudu air longkang. Sesekali, tumbuh rasa geli dan loya di tekaknya saat melihat air longkang yang berona kelabu kehijauan itu dipenuhi sisa-sisa makanan, malahan najis binatang. Continue Reading »

Aku Seorang Guru

Sudah lama merancang untuk menulis di sini, tetapi sering sahaja hasrat itu terbantut dek keletihan, kelelahan dan ‘kesakitan’. Penatnya menjadi guru. Ya, bukan senang menjadi seorang guru. Pahalanya berganda, tentu cabarannya jua tidak terkira. Continue Reading »

Catatan 1

Senangnya menjadi seorang guru, tidak sesenang tugasnya.

Terkadang dihimpit dilema, dan perlu bangkit sendiri supaya tidak terjelepuk terus. Keyakinan adakalanya malap dan sirna. Goyah pun datang menjelma.

Sungguh, guru bukanlah pekerjaan yang mudah. Dan kini aku merasainya.

 

Belajar Mandiri

HAMPIR minggu kelima mendiam di negeri atas air ini. Keserasian mula timbul sedikit sebanyak. Dahulu, sewaktu ‘dipaksa’ memandu datang ke sini, hati jadi sangat cuak, rimas dan penuh tekanan. Jalannya kecil, tiga baris pula, kemudiannya sesak dan padat. Sikap-sikap pemandu yang suka menggunakan senjata ‘hon’ tambah mengecut perutkan diri.

“Tak suka, jalan sempit!” Saya membentak.

“Jalan sempit atau diri kita yang tak mahu serasikan diri dengan keadaan?” Suami saya membalas. “Seseorang yang bermotivasi tinggi akan sentiasa berlapang dada dan menerima keadaan apa pun yang dialaminya. Dia tidak akan sentiasa menyalahkan sesuatu, tetapi akan berusaha menyesuaikan diri,” sambungnya sambil memerhatikan saya yang sedang memandu dengan muka yang masam mencuka. Continue Reading »

Older Posts »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.