Masih tidak hendak meletak kepala di bantal empuk meski agak kelelahan memandu seawal 7.00 pagi tadi dengan gopoh-gapah ke Pulau Pinang bagi memenuhi panggilan mesyuarat sekolah. Waktu tiba awal jam 9.00 dan sempatlah menikmati sarapan yang dibekalkan oleh suami yang dikasihi lantaran tidak cukup waktu dan serasa mual perut untuk menelan semasa di rumah tadi. Sekadar menjamah dua keping roti dan secawan kopi spirulina sebagai alas perut. Ternyata nasi lemak dan kuih-muih yang dibeli suami itu mampu meredakan sedikit nyanyian dan gendangan bertalu di perut. Terima kasih!
Sendirian begini sering membuat diri bermuhasabah, konon mahu jadi segala yang terbaik. Super woman. Ternyata ia tidak semudah mengarang ayat menjadi tulisan, tidak sewenangnya terlaksana. Ia bukanlah sesempurna jalan cerita yang pernah dikarang dalam cerpen-cerpen atau novel yang berwatak kamil sentiasa. Alangkah indah menjadi sempurna dalam segenap segi, bukan?
Bagaimanapun, kita hanya mampu berusaha. Dan teruskan berdoa.
Ya, mungkin itulah azam baru yang tersemat untuk tahun 2012 akan datang. Juga mengharap ia tidaklah sekadar singgah, kemudian sirna begitu sahaja, tetapi terserap dalam diri sehingga melahirkan tindakan. Insya-Allah.



