Bekal Buku
Assalamualaikum.
Buat pelajar-pelajar yang dikasihi, sila klik pautan di bawah untuk dapatkan ‘bekal’ buku teks KSSM Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah tingkatan 5.
Selamat berPdPR. 😊

Puisi: Milyuner Akhirat?

Sekian lama dicanang orang;
guru milyuner akhirat
dipalu beduk diketuk
biar ketahuan seluruh pelusuk
kita ini kariernya muluk
perlu dihormat wajib ditunduk.
Wajahnya rupawan nan elok
namun susuknya tempang terhincut
bankrap modal akhirat
dijoli tamak dan gila pangkat
tiada ikhlas disemat
hanya mengemis syiling-syiling A+
di dalam bilik-bilik kelas
Katanya milyuner akhirat
namun lelah menimbun pahala
malah seringan kapas di udara
seandainya pekerjaan di madrasah
mampu diikhlaskan Lillah
setiap derapan kaki ke kelas
disulam tarbiah akidah dan sahsiah
itulah saham ke jannah.
Pelajar kitalah ladang
buat dipugar dan ditanam
kita semai akidah sahihah
kita siramkan Syariat Allah
lalu dibajai akhlak mahmudah
Meski kita miskin amal
itulah hasil yang boleh dituai
menumpang syafaat pelajar.
24/08/2020,
5.33 p.m.
Penat

Perca-perca lesu ini
andai dicantum di fabrik rengsa
ditekat sulaman kantuk
terhasil tekstil lena yang pulas.
Kopi

Kopi
tanpamu hidupku sepi
tanpamu nyanyiku sunyi.
Teguh Niat

Teguh niat
sering dihempas gelora duga nan sasa
dibanting amuk rasa nan aneka
direjam tusukan pujuk nan nista
biar tersadung niat
di pusara kerendahan darjat.
14 Ogos 2020
Rezeki Pagi

Pagi nan indah
rezeki murah
disepuh ukhuwah
mengait benang-benang nostalgia
bersimpuh di kala pagi
makan nasi dan minum kopi
yang sukar diulang lagi
kejamnya rutin waktu
membiarkan kita tenggelam
dalam kenangan dahulu.
E-Book Diari Guru

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Allah SWT telah memberi kesempatan menjengah ke laman maya penuh sawang ini, untuk sesekali kemas dan cuci habuk, daki, dan kotoran yang mungkin sudah keras untuk disental dan ditonyoh.
Mengenang diri yang tidaklah banyak membuat amal, atau menabur kebajikan di atas muka bumi ini, saya mengambil masa agak lama berenang di tasik fikir. Atas cadangan suami, saya telah mengumpul kembali artikel-artikel yang pernah saya tulis dalam Majalah Generasi al-Quran Kreatif (Gen-Q), menerusi Kolum Diari Guru, sekitar tahun 2012 hingga 2016.
Saya masih ingat saat awal pembikinan majalah ini. Ketika itu, Allahyarham Azzam Supardi masih ada. Seingat saya, beliaulah pembaca pruf bagi kumpulan cerpen saya bersama Telaga Biru Sdn. Bhd.; Tawajuh Cinta yang diterbitkan pada tahun 2010. Pada 2011 atau 2012, Saudara Azzam telah menghubungi saya, meminta cadangan dan idea bagi penerbitan majalah baharu buat remaja ketika itu, iaitu Gen-Q. Saya sebagai guru, pastinya hanya ternampak-nampak sekolah dengan pelajar-pelajarnya. Justeru, saya memberi sebuah idea mengenai artikel yang mengutarakan masalah pelajar-pelajar di sekolah, serta cadangan penyelesaiannya. Tidak lama kemudian, beliau meminta saya menulis sebuah kolum khas saya sendiri dalam majalah baharu tersebut, yang diberi nama yang sangat istimewa di hati saya, iaitu Diari Guru. Allahu, saya rasa nama kolum itu begitu hidup di hati saya hingga saat ini.
Setelah bertahun menulis bagi majalah baharu tersebut, dari awal kemunculannya hinggalah ia berakhir atas faktor kegawatan ekonomi, saya sememangnya mempunyai pembaca setia kolum itu dari kalangan pelajar sekolah seluruh Malaysia. Ke mana-mana sekolah yang saya pergi ketika itu, pasti ada pelajar yang mengecam saya, lantas meminta autograf (Hehe, hanya kenangan). Ketika itu juga, Saudara Azzam telah mengusahakan agar artikel-artikel saya di dalam kolum Diari Guru diterbitkan sebagai sebuah buku. Malangnya, belum sempat siap, beliau telah terlebih dahulu dijemput Ilahi.
Mengenang itu semua, saya mengambil keputusan untuk menyebarkan karya-karya saya di dalam kolum tersebut sebagai bahan bacaan percuma buat masyarakat pelajar, guru dan mereka yang cintakan ilmu. Semoga Allahyarham Azzam Supardi mendapat saham di alam sana atas usaha beliau mahu menerbitkan bahan bacaan ini. Saya juga berharap, ia turut menjadi saham saya di alam abadi, saham ibu bapa, guru-guru dan mereka yang pernah mengajar dan mendidik saya, serta mereka yang terlibat secara langsung dan tidak dalam pembikinan karya tersebut.
E-Book Diari Guru ini menghimpunkan 58 artikel saya di dalam Kolum Diari Guru, Majalah Gen-Q pada tahun 2012 hingga 2016. Saya turut memuatkan di dalamnya 3 buah cerpen yang pernah diterbitkan dalam Majalah Fardu Ain pada tahun 2011 dan 2012 di ruangan Sisipan.
Saya berharap agar E-Book ini mendapat manfaat buat mereka yang membacanya, terutama para pelajar dan guru-guru yang cuba memandang sekolah sebagai pusat tarbiah diri.
Selamat membaca. 🙂
Download di sini:
Penemuan
Membaca bait-bait puisi ‘Sebelum Tidur’ karya T. Alias Taib yang merupakan salah sebuah muatan dalam kumpulan puisinya PIRAMID, menyebabkan aku seperti biasa membacanya sebelum ini.
Akhirnya aku temui titik ingatan itu di kanvas sebuah buku catatan yang kusalin ketika kelas Asas Penulisan Puisi, subjek elektif yang memang sengaja aku ambil pada tahun akhir pengajian di Universiti Malaya pada tahun 2009. Tujuannya adalah untuk benar-benar mengetahui selok-belok penulisan puisi yang sememangnya dangkal dalam diriku. Tertera nama pensyarah di situ ‘Zubir Ali’, seorang komposer, penyajak, penyanyi, malah bekas vokalis Kumpulan Harmoni suatu ketika dahulu.
Meski aku mengalami kesukaran sewaktu hendak menghadiri kelasnya pada setiap Khamis jam 3.00 petang, aku gagahkan diri juga kerana aku benar-benar mahukan ilmu daripadanya. Seingatku, ketika itu, majoriti pelajar yang mengambil subjek itu adalah bukan atas kerelaan mereka sendiri, sebaliknya mereka terpaksa mengambilnya kerana sudah tiada pilihan lain; subjek lain sudah penuh.
Entahlah. Mendengar tutur bicara tokoh sarat ilmu seperti beliau membuatkan aku sering teruja menghadiri kelas. Serasaku, hanya sekali beliau sempat membaca dan memberi komentar puisiku kerana Allah lebih menyayangi beliau.
Dan tika itu, aku terpempan dan diam berjurus-jurus lantaran kelas puisiku ‘mati’ di tengah jalan.
Boleh baca tulisanku terdahulu mengenai rasa hatiku saat pertama kali mendengar pemergiannya:
#sekadarnostalgia
Sebuah Imbasan
Kini, sudah hampir 7 tahun aku bergelar guru secara rasmi. Dan, selama 7 tahun itu, aku telah diberi kesempatan untuk mengajar di tiga buah sekolah. Seharusnya aku bersyukur dengan pengalaman yang diberi rasa oleh Allah kepadaku itu, kerana susunannya sangat cantik, tertib dan penuh hikmah, meski pada mulanya, aku dihimpit malah dihempap beban rasa dan jiwa yang begitu menekan.
Rupa-rupanya benarlah seperti firman-Nya: “إن مع العسر يسرا”
Maksudnya: Sesungguhnya setiap kesukaran itu disertakan kemudahan.
Kesukaran yang kutempuhi pada awalnya, terutama pada tahun-tahun awal dipostingkan, hikmahnya adalah sebuah tarbiah jiwa dan kekuatan dalaman pada seorang aku yang mungkin, lembut, lembik dan benyai. Beberapa lama masa terpaksa kuambil untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran menekan, sekurang-kurangnya enam bulan pertama. Akhirnya, dengan suasana penuh kekerasan itu, aku sendiri menjadi ‘keras’ di sebalik kelembutan. Hingga aku cukup persediaan dan kekuatan untuk bersendiri dipostingkan ke sekolah kedua yang tidak pernah kuangankan; mendidik pelajar yang majoriti lelaki, bermasalah sosial, kaki pukul, kaki ganja, geng kongsi gelap, dan selainnya.
Di sini, alhamdulillah, aku telah dikuatkan Allah untuk lebih bertahan, malah sangat ‘menikmati’ pengajaranku di samping menjalinkan hubungan baik bersama pelajar-pelajar, bagaimana bermasalah pun mereka. Di sinilah juga, sehingga kini, aku tidak akan pernah lupa pelajar-pelajar yang sekalipun bermasalah, mereka sanggup menadah telinga mendengar bebelan dan nasihatku, asalkan aku. Bagaimana tajamnya kata-kataku, mereka rela menerimanya, asalkan aku. Buktinya, mereka akan sering mengunjungiku di bilik guru jika tiada guru memasuki kelas mereka, sekalipun mereka berisiko dimarahi guru disiplin, ataupun dicekak rambut kerana tidak memenuhi syarat pemotongan rambut nombor 2. Antara pelajar-pelajar itu adalah Mohd Nur Iman dan Muhammad Asraf (Angah), yang hanya kukenal mereka dan rapat denganku setelah aku menjadi guru kelas mereka tidak sampai pun setahun, ketika mereka di tingkatan 3 Murni.
Setiap pertemuan, aku akan menasihati mereka tentang solat dan puasa. Setiap kali. Dan mereka sanggup mendengarnya, asalkan aku. Jadi, bagaimana tidak aku mengingati mereka.
Akhirnya kini, aku sudah berada di Kedah, di sebuah sekolah harian berprestij. Sekolah ini langsung tidak memerlukan aku menjerit seperti askar, kecuali saat hendak melawan suara hujan yang lebat dan keras. Disuruh A, A lah yang akan mereka lakukan. Konsep yang diterapkan di sini adalah سمعنا وأطعنا. Di sini juga, aku tidak pernah sekali pun mendengar pelajar mempermainkan perwatakanku yang ‘comel’. Sekalipun tidak. Syukurlah.
Di negeriku ini, aku lebih sibuk, tetapi lebih tenang dan bahagia. Kerana di samping kesibukan itu, aku mendapat ‘tarbiah’ secara tidak langsung daripada Allah untuk membetulkan diri sedikit sebanyak, di samping membetulkan pelajar.
Inilah hidup. Sebuah proses belajar yang panjang. Sekian.