Pada Siapa Patut Letak Cinta

Dr Ilmal Online

Assalammualikum……

Sebelum saya membicarakan bab pada siapa patut letak
cinta ini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan
rasa dukacita tentang pemahaman bab “penderitaan
mengundang bahagia”.

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta.
Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau
jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak
ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada
mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang
masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang
yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta
yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga
dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana
cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh
disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh
terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua
sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati
kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat.
Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila
puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang
dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah
yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang
dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk dalam
meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh
cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang
mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan
itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan
nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan
nafsu seks lelaki kepada perempuan. begitu juga
wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome
bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang
disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan
harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan
hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang
dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu
semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang
punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah
babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat
menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan,
berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling
rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam
ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak
jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah
tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah
yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut.
Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk
membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon
untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula
rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada
perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang
perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta
hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada
lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang
melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami
disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami
melayang.

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya
hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang
banyak melanda orang muda yang dilambung asmara.
Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri,
kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya
sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat
ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang
paling malang dan memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina
rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan
cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan
manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila
isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh,
rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti
opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan
beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus
hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang
perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata
suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami
boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan
nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya
suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau
suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang
cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang
rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi
melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci.
Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka,
kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan
isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami.
Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan
ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk
rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah
membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh
merendahkan wanita, jangan marah tau.

Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan
manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam
hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta
yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut
pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta
diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini
tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan
kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta
pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan
dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara
murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan
sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan
Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan
Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang
tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan
memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa
saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta
mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi.
Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku
walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati
rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang
dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu
senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri
untuk senangkan orang yang dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu
seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan
sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat
perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti,
hari di amana masing-masing orang mengharap sangat
lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari
kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan
letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan
melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami
tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada
suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta
isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu
contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana
cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari
ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin
putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap
memberikan cintanya yang utuh dan teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri
itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri
taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia
ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan
tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling
cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu
isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai
oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana
Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah
lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw
akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu
selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah
berlaku semasa baginda satu selimut dengan
isteri-isteri yang lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan
Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku
pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada
makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang
isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang
isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup
aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka
kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk
laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka
ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan
sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya
kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada
Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi
bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang
cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil,
apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah
dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil
dan rendah padanya.

Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap
Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta
nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup
hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi
Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf
hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf
masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu
cintanya kepada Yusuf.

Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha
menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik
menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana
banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis
dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah
belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah
mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah
Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan
kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya,
bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada
Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat
dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga
terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf
yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu
Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir
hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju
Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah
menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu
dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah.
Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak
cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu
di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.

Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup
kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. kalau
wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya,
tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana
cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi
mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan
rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu
datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja
yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu
semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan
kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan
kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan
makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah
boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati
orang-orang tadi kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian
diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat,
gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat
pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya
nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita
terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:

“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah,
nescaya kamu tak terhitung.”

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan,
menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah
dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui
kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita
kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa
untuk ucapkan terimakasih, lupa pada yang memberi.
Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan
kita dengan kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu
pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak
yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu
pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah
sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu
masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan
kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta
pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan,
aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu.
tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka
kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul
Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan
dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila
cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada
tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun
cintamu pada manusia nescaya dia akan
merobek-robekkannya. tapi kalau hati yang pecah itu
diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya.
Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah
tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di
akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan
kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan
barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya.
Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan
di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita
pada Allah swt yang patut kita letakkan.

Wassalam.

Perkongsian daripada e-mel

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s