Kasus Belenggu

Kak Fara baru tiba di rumah. Dia baru pulang dari rumah Tok Leha, berdekatan dengan jambatan tasik bekas lombong di hujung kampung. Dia membantu Tok Leha di situ secara sukarela untuk mengajar budak-budak kampung mengaji al-Quran dalam tempoh cuti semester pengajiannya di universiti.

Kak Fara nampak benar-benar kelelahan. Wajahnya dimamah lesu sehingga kelopak matanya terbuka layu. Bajunya lencun bermandi keringat. Kak Fara buru-buru masuk ke bilik, sejurus kemudian keluar semula membawa tuala mandi dan terus masuk ke dalam bilik air.

Burr! Burr!

Curahan air berdebur menimpa lantai betul-betul jelas di telinga adiknya, Farid yang berusia 15 tahun. Kak Fara mandi? Eh, bolehkah mandi pada waktu ini? Kak Fara tak takut kurang pahala puasa? Soalan-soalan itu menerjah kotak akal Farid.

Tiba-tiba emak muncul dari dalam biliknya. Dia terpinga-pinga sambil anak mata memanah pintu bilik air.

“Kakak engkau mandikah, Farid?” Soal emak sambil matanya membutang merenung Farid. Farid mengangkat bahu. “Apa kena kakak engkau ni? Kan makruh mandi siang-siang hari ni.” Emak mengomel sambil menapak ke bilik air. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu itu sambil tangan memalu keras.

Dum! Dum! Dum!

“Fara, kau mandikah?”

“Ya, mak,” jawab Kak Fara sambil terus menyiram tubuh. Kak Fara seperti dapat menerka apa yang berlegar-legar dalam fikiran emak. Selepas dua, tiga kali mencedok air, dia berhenti. Kak Fara tersembul di muka pintu dengan berkain batik dan tuala menutup tubuh.

“Yang kau mandi waktu dah nak dekat senja ni kenapa, Fara? Kan makruh. Tak takut batal puasa?” Emak bercekak pinggang. Dia memang pantang jika merasakan anak-anaknya berbuat sesuatu menyalahi dasar pegangan dan amalannya selama ini.

Kak Fara sekadar mengukir senyum. “Tak apa, mak. Tak batal puasa. Makruh pun tidak. Fara mandi sebab terlalu letih dan dahaga. Fara rasa badan ni kering saja. Lepas ni Fara nak goreng cempedak pula. Bila terkena bahang api, tentu lagi letih rasa badan ni. Jadi, Fara mandilah.” Kak Fara merenung emak, lalu memandang pula kepada Farid.

“Kalau termasuk air ke dalam telinga, bukankah akan terbatal puasa?” Balas emak.

“Tak batal, mak. Sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak akan batal.” Kak Fara menjawab yakin.

“Tapi, kak. Bukankah mandi selepas matahari sudah tinggi atas kepala itu hukumnya makruh?” Farid tidak puas hati.

“Boleh, dik. Tak makruh pun. Kurang pahala puasa pun tidak. Sebabnya, Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala baginda sewaktu bulan puasa lantaran terlalu haus dan panas. Tak ada ayat al-Quran atau hadis yang menyebut makruh atau kurang pahala puasa. Dik, Islam tu rasional. Kita boleh mandi untuk tujuan mengembalikan kesegaran dan mahu meneruskan pekerjaan lain. Mungkin jika tidak mandi, badan kita terlalu lesu dan hanya mahu terbaring. Islam itu tidak suka umatnya hanya terlantar di katil dalam keadaan lemah 24 jam!”

Kak Fara turut membacakan terjemahan hadis yang menyebut tentang keadaan Rasulullah mencurahkan air ke kepala baginda itu. “Abu Bakar bin Abdul Rahman meriwayatkan: Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah s.a.w di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Ahmad dan Abu Daud.”

Farid mengangguk-angguk mendengar penjelasan Kak Fara. Dia bertambah yakin setelah Kak Fara mengemukakan hadis. Sebab setahunya, hadis itu merupakan suatu hujah atau dalil yang kuat selepas al-Quran.

Farid menoleh melihat emak. Emak mendengus marah. “Setahu aku, memang tak boleh mandi bila matahari dah tegak atas kepala. Makruh! Bukan aku yang kata, tapi Ustaz Deraman yang kata. Dia orang alim yang kaya ilmu, tentulah kata-katanya itu betul. Yang kau ni, baru saja aku hantar ke universiti, dah berlagak pandai nak ubah macam-macam!” Emak memicit kepala seraya berlalu ke dapur.

Farid kembali bingung. Jawapan Kak Farakah yang betul, atau emak yang salah? Dia mencerlung kakaknya itu, menagih diuraikan kekeliruan yang berselirat.

Kak Fara seperti memahami erti tagihan pandangan Farid. “Dik, al-Quran dengan al-Sunnah atau hadis, yang mana lebih tinggi autoritinya?”

“Al-Quran.”

“Al-Sunnah, dengan maksud kata-kata Nabi, mana lebih tinggi kebolehpercayaannya berbanding kata-kata sahabat?”

“Kata-kata Nabi, kak.”

“Jadi, kata-kata Nabi dengan kata-kata ustaz biasa?” Kak Fara tersenyum. Farid juga turut mengulum senyum. Dia sudah mendapat jawapan.

***********************************************

Sahur itu satu rumah terlewat bangun. Berbaki 10 minit sebelum bermula waktu imsak. Emak hanya meneguk air kosong dan menjamah Kurma Maryami. Ayah pula sempat mengepal nasi sejuk lalu dikunyah dengan sedikit telur dadar semalam. Farid melihat Kak Fara mencapai pinggan, lalu disenduknya nasi putih sejuk bersama-sama dengan kuah asam pedas ikan pari. Farid mengikut telatah kakaknya meski dia tahu waktu imsak hampir tiba.

“Eh, yang kau berdua makan nasi ni kenapa? Dah tak sempat ni. Lagi 5 minit saja tinggal. Mana sempat nak habiskan nasi tu,” tegur emak. Ayah hanya mengerling sahaja sambil menghirup kopi pekat yang sempat dibancuh oleh emak.

Farid memandang Kak Fara. Kak Fara perasan itu. Sambil mengunyah, Kak Fara cuba menjelaskan. “Boleh, mak. Waktu imsak seperti yang tertulis dalam takwim solat tu hanyalah sebagai garis panduan agar kita sedar waktu sahur sudah hampir habis. Tapi yang sebetulnya, waktu sahur hanya akan tamat setelah masuknya subuh. Jadi, kita boleh makan selagi belum masuk waktu subuh, mak.”

“Apa kau merepek ni? Takwim tu kan dikeluarkan oleh orang yang ahli. Jangan kau nak memandai-mandai mengubah hukum,” marah emak.

“Saya tak merepek, mak. Saya juga tak mengubah hukum. Buktinya, Allah sendiri telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 187: Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. Di samping itu, baginda Nabi juga telah bersabda: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar. Kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa kita boleh makan dan minum selagi mana belum tibanya waktu fajar, iaitu subuh.” Kak Fara berhenti mengunyah.

“Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya, iaitu, boleh teruskan minum,” tambah Kak Fara.

“Ooo…” Ayah melopong mulut mendengar penjelasan Kak Fara. “Mah, ambilkan abang kuih seri muka dalam peti ais tu,” pinta ayah kepada emak. Emak mencuka memandang ayah. Tetapi dia memotong juga kuih seri muka dalam pelengat untuk ayah.

Kak Fara dan Farid saling berbalas senyuman.

***********************************************

Pintu bilik diketuk perlahan. Kak Fara memulas tombol pintu biliknya. Farid di muka pintu. Matanya kemerah-merahan dan sembab.

“Baru bangun tidur ya?” Kak Fara meneka. Farid angguk.

“Ada apa ni?”

“Nak tanya kakak. Boleh tak gosok gigi waktu tengah hari macam ni? Farid baru bangun tidur, nak sembahyang. Rasa tak sedap pula dalam mulut selepas bangun tidur.” Matanya masih terpisat-pisat dihurung sisa kantuk.

“Boleh, adikku. Rasulullah sendiri menggalakkan umatnya supaya bersiwak atau bersugi setiap kali hendak berwuduk, malah tidak terdapat larangan dalam al-Quran atau hadis tentang bersiwak pada bulan Ramadan. Jadi, memang bolehlah memberus gigi pada bila-bila masa, terutamanya ketika hendak berwuduk, dik.” Farid mengangguk perlahan mendengar penjelasan yang memuaskan hatinya.

“Islam itu mudah,” bisik hati kecilnya.

“Eh, dik. Lepas Asar temankan kakak pergi pekan sekejap ya. Nak beli ramuan bahan untuk buat kuih raya,” pinta Kak Fara.

“Okey. Kita pergi dengan kereta ayah ya, kak?”

Kak Fara mengangguk.

Seusai solat asar, mereka berdua ke pekan yang sedikit jauh dari kampung tempat tinggal mereka. Pekan berdekatan terlalu kecil dan tidak banyak barang-barang pilihan. Kebetulan, keadaan pekan pada waktu itu sangat sesak kerana bertembung dengan orang yang baru pulang dari pejabat. Mereka hanya sempat berbuka puasa di dalam kereta dengan Kurma Iran yang dibeli oleh Kak Fara.

“Dik, kita terus ke masjid ya,” unjur Kak Fara.

“Eh, kan kakak tak bawa telekung. Tak nak balik rumah dulu?”

“Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti terlepas pula waktu maghrib.” Kak Fara terus membelok ke kawasan masjid berdekatan.

Setelah berwuduk, Kak Fara pergi ke almari telekung di penjuru dalam masjid. Tidak ada. Semuanya sedang digunakan oleh para jemaah wanita yang hadir. Mereka sedang menunggu masuknya waktu Isyak untuk bersama-sama bersolat Isyak dan terawih berjemaah. Kak Fara lantas menyarung stokin bersih yang sering dibawa dalam beg tangannya. Pergelangan tangan dikancing dengan butang agar tidak terbuka. Kerongsang kecil dilekatkan di belakang tudung bidang 60 yang dipakainya supaya tudung itu tidak terselak dan melurut ke tengkuk ketika sujud. Dia lalu mengangkat takbiratul ihram.

Kelihatan banyak mata yang memandang aneh melihat Kak Fara bersolat tanpa telekung khas sembahyang. Dalam hati mereka, Kak Fara mungkin pengikut mazhab yang lain. Malah ada yang berfikiran, Kak Fara membawa bid’ah.

“Bolehkah sembahyang macam tu? Tak tutup sempurna,” bisik seorang wanita yang sudah lanjut usia.

“Entah. Nak sembahyang, mestilah pakai telekung sembahyang. Tak sah sembahyang dia tu,” bisik seorang yang lain.

Selesai berdoa, Kak Fara tiba-tiba dikuit oleh seorang wanita yang agak gempal dan hitam manis. Wanita itu bersalaman sambil tersenyum mesra.

“Anak dari mana?” Soalnya.

“Dari pekan tadi. Kebetulan, sesak pula di jalan. Tak sempat sampai di rumah. Ini pun cepat-cepat singgah sini nak sembahyang, takut terlepas maghrib.”

Wanita itu mengangguk.

“Maaflah, mak cik nak tanya. Kenapa sembahyang tak pakai telekung? Bolehkah macam tu?”

Kak Fara tersenyum. “Memang niat nak pakai telekung tadi, tapi semua dah habis dipakai. Saya pula tak bawa spare. Ya, boleh sembahyang tanpa telekung asalkan telah cukup syarat-syarat sahnya, termasuklah menutup aurat dan suci daripada hadas kecil dan besar.”

“Ooo…” Mulut wanita itu melopong mendengar penjelasan Kak Fara.

“Islam itu fleksibel, mak cik, iaitu kita tidak terikat pada adat atau budaya untuk melakukan ibadat. Contohnya, hukum bersolat itu adalah wajib kepada setiap orang, tapi Islam tidak menetapkan yang kita wajib memakai telekung sembahyang berwarna putih, hitam atau seumpamanya. Cuma, bila mana telah cukup syarat-syarat yang boleh menyebabkan solat itu sah, seperti telah menutup aurat dengan sempurna, maka teruslah bersembahyang. Kita tidak terikat pada telekung sembahyang, dan ia bukan syarat sah solat.” Kak Fara cuba meleraikan kekeliruan yang sememangnya dia tahu telah mendarah daging dalam masyarakat.

“Ya, betul tu. Orang kita selalunya bila keluar dari rumah berpakaian tak cukup kain, atau menutup aurat, tapi tidak sempurna, itu tidak dipandang salah. Tapi bila nampak orang lain menunaikan sembahyang tanpa telekung pun mahu dipersoalkan, sedangkan syarat untuk bersembahyang itu sudah sempurna.” Seorang gadis muda berwajah persih tiba-tiba mencelah. Wanita tua tadi hanya tersenyum, sedang di dalam hatinya merasa terpukul dengan ujaran gadis muda itu.

Kak Fara hanya menyepi. Dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa dengan kata-katanya. Dia sekadar mahu berkongsi ilmu dan kefahaman yang telah dipelajari. Dia kemudian meminta diri untuk pulang.

Farid telah sedia menunggu dalam kereta. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Kak Fara menceritakan situasi tadi kepada Farid. Farid juga tidak pernah terfikir akan hal itu. Selama ini memang dia menyangka bahawa ‘uniform’ solat itu wajib jika mahu bersembahyang.

“Baru Farid tahu…” Ujarnya.

“Itulah masyarakat kita hari ini. Mudah terikut-ikut dengan kata-kata orang, pantang menyalahi adat kebiasaan walaupun ketika nak beribadat. Sedangkan Islam itu mudah sahaja. Cuba kita tengok dalam bab nak bersembahyang juga. Kalau tak ada telekung, ada yang tak sembahyang. Sanggup qada’ di rumah sebab mentaliti mereka sendiri yang mewajibkan pemakaian telekung tu. Sedangkan dalam Islam tidak begitu. Cuma, jika ada telekung, sebaiknya gunalah telekung sebab ia lebih selesa dan menutup aurat dengan lebih sempurna pula.”

“Betul tu, kak. Baru Farid perasan macam mana keadaan masyarakat hari ni. Tapi, Farid tak tahulah macam mana nak ubah mentaliti mak tu.”

Kak Fara berpaling kepada Farid sambil menguntum senyum.

“Mm, mak tu kuat berpegang pada kata-kata orang yang dipandang tinggi dalam masyarakat, contohnya ustaz. Tapi ustaz pun kadang-kadang bukan semuanya ahli dalam semua bidang, khususnya zaman sekarang. Ada yang mahir bab usuluddin, tapi lemah bab fikah. Yang kuasai al-Quran, tapi kontang hadis, sedangkan al-Quran dan hadis tu saling lengkap-melengkapi.” Kak Fara diam sejurus. “Sesekali, Farid bukalah kuliah-kuliah ilmu kat tv tu. Halaqah atau al-Kuliyyah bagus juga. Ustaz-ustaz yang dijemput lazimnya mempunyai ilmu yang diperakui. Biar mak dengar. Moga-moga pemikirannya berubah.”

“Betul juga tu. Kadang-kadang ustaz yang selalu dijemput kat surau kampung kita tu terlalu konservatif, sehinggakan perkara adat pun sudah dianggap syariat. Farid dah menilai semua tu bila dengar hujah kakak,” balas Farid sambil memandang kosong kenderaan-kenderaan yang bertali arus.

“Perkara yang dah menjadi adat kebiasaan ni memanglah tak boleh diubah dalam sehari dua, dik. Perlahan-lahan. Step by step kata orang putih. Kena bersabar dan hati-hati kalau nak tarik rambut dalam tepung,” ujar Kak Fara sambil meneruskan pemanduan.

Farid diam. Dia terus meladeni kata-kata kakaknya itu. Ada kobaran semangat yang mengasak hati. Ada pancang tekad mulai tercacak padu.

TAMAT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s