Menunggu Di Batas Waktu

Pagi itu dia bangun awal sebelum cahaya putih bertompok di ufuk langit kelam. Sesekali ayam jantan berkokok nyaring bersahut-sahutan. Daun tingkap dibiar nganga terbuka. Dia berasa segar sewaktu angin dingin mengusap-usap lembut pipinya yang cengkung tidak berisi.

Cincin emas belah rotan di jari manis direnungnya. Dia memutar-mutar cincin itu seraya menciumnya. “Inilah tanda kasihnya kepadaku.” Bibir mungilnya mengucup lagi simbol kasih yang diulang-ulang sejak sekian waktu kala menatap batang tubuh cincin itu. Dia masih leka membelek-belek. Langsung tidak tahu erti jemu.

Setelah puas menilik, mencium dan membelek, dia menalakan wajahnya menghadap cermin di meja solek. Satu set lengkap alat solek telah sedia menanti di atas meja tersebut. Sejak lama dahulu, dia hanya kenal dengan alat solek jenama ‘Safi.’ Dia yakin tanpa was-was. Maka, jenama itulah juga yang disiapkannya sempena hari yang dinanti-nantikan.

Dia mula menyapu krim asas solek di kedua-dua belah pipi, dahi, hidung dan dagu. Dia merata-ratakan dengan hujung jari. Bedak kompak dibukanya, lalu dengan menggunakan puff, ditempek-tempek dan dipedap-pedapkan ke seluruh muka. Celak pensil berwarna coklat kehitaman digaris di bawah mata. Terakhir, dia mencalit bibir kusam dengan sedikit lipstick mengikut warna bibirnya. Selesai. Dia merenung dirinya di dalam cermin. Tersenyum. “Cantik.” Dia memuji sendiri.

Dia kemudian bangkit menuju ke almari baju. Sepasang jubah berwarna krim dengan kerawang biru muda di leher, dada, pergelangan tangan dan kedua-dua belah belahan jubah bahagian luar yang tersangkut rapi dicapainya. Jubah itu telah ditempah khas sejak tiga bulan lalu demi semata untuk menanti hari bahagia dalam hidupnya bergelar raja sehari. Tanpa lengah, dia menyarung persalinan tersebut ke tubuhnya yang tinggi gemalai.

Dia menggaya-gayakan badan seperti model di hadapan cermin. Dia menatap puas dirinya sambil tersungging-sungging senyum. Tiba-tiba angin kencang mulai membadai hatinya. Ada ngilu dan perit yang merobek-robek dalam dada.

Dia bersimpuh kembali di bangku meja solek dan menatap wajahnya di dalam cermin. Terpamer gurat-gurat luka yang berakar tunjang di ladang hatinya. Bagai litar pintas yang merenjat, kelukaan itu telah merayap-rayap memanjat relung-relung hati, kepala, dan seluruh tubuhnya.

Ada gugus manik jernih berjuraian tali-temali di birai pipinya.

“Maaf, Haura’. Bukan ini yang saya inginkan. Saya juga terluka, tapi begitulah keputusan keluarga saya.” Bibir itu bergerak-gerak sambil anak mata menjilat lantai.

Dia masih gamam. Kata-kata Aqil umpama belati yang membidas dan meremukkan seluruh jiwanya. Sedaya mungkin, dia cuba menahan benteng air mata daripada terbongkah.

Mulutnya terkumat-kamit sambil menahan getar dalam dada. “Kita nak akad saja dulu, tak bolehkah? Dua, tiga bulan lepas tu saya pun dah graduate. Bukan saya nak awak terus tanggung saya. Tapi tunggu saya graduate dulu. Lagipun, masa tu awak pun dah kerja.” Dia beranikan diri untuk meluah.

Aqil memandang matanya mulai berkaca. Dia kasihan pada gadis itu. Dia tahu bahawa Haura’ telah lama menunggunya, dan telah banyak pula melalui kegetiran bersama. Tetapi ketegasan emak dan ayahnya untuk tidak membenarkan dia mengahwini gadis itu selagi belum menamatkan pengajian, benar-benar membungkam suaranya.

“Bukan macam tu, Haura’. Sekarang ni ekonomi negara kita merudum. Pendapatan bulanan emak dan ayah pun tak seberapa. Mereka kata tak ada duit nak buat kenduri. Takkan saya nak paksa. Sebagai anak, takkanlah saya tak faham. Mak dan ayah suruh saya kerja dulu, sekurang-kurangnya setahun.”

“Saya cuma nak awak selamatkan saya. Saya sekadar nak kita akad saja, untuk menghalang saya daripada kena posting ke Borneo…” Dia mengukir mimik simpati.

Aqil diam. Lama. Kepalanya terasa berdenyut-denyut hendak meletup.
“Saya tak dapat buat apa. Keputusan ada di tangan mak dan ayah saya…”

Rohnya bagai melayang-layang, membawa jiwa raganya terbang bersama-sama. Kekecewaan yang menghempuk hatinya menjadikan dia cedera parah. Dia telah bertindak mengikut sepenuh emosi yang memandu akalnya ketika luka merabit di hati. Dia mahu membatalkan majlis pertunangan yang dirancang dalam tempoh tiga bulan lagi meski cincin tunang sudah dibeli dan persalinan juga sudah tersedia. Dia meminta kembali cincin tunang yang disimpan oleh emak Aqil dan membayar harga cincin itu kerana mahu menyimpan untuk dirinya. Aqil pada mulanya keberatan untuk memenuhi permintaannya, tetapi akhirnya akur lantaran sikapnya yang semakin dingin.

Fikirannya mulai berserabut, kusut dan berselirat. Dia sengaja mengambil keputusan untuk tidak meneruskan majlis pertunangan tersebut kerana dia sudah bosan dan jemu menjadi ‘penunggu.’ Hatinya remuk-redam apabila dirinya tidak dapat ‘diselamatkan’ oleh putera yang diharap-harapkannya selama ini. Dia rasa tiada apa-apa makna lagi meski dapat berkahwin dengan Aqil, tetapi mereka terpaksa berpisah sekurang-kurangnya selama lima tahun setelah berkahwin. Baginya, tiada erti sesebuah perkahwinan dengan berjarak dan berpisah begitu.

Dalam situasi apa pun, dia sedar yang dia sering menjadi ‘penunggu.’ Menunggu kawan, menunggu bermulanya sesuatu majlis, hatta menunggu untuk disunting. Dia sangat sakit menjadi ‘penunggu’ kerana orang yang ditunggu lazimnya tidak merasakan perasaan orang yang menunggu. Kata-kata bahawa ‘penantian itu suatu penyiksaan’ benar-benar satu realiti. Dia sendiri sudah mengunyah sehinggah hadam hakikat kata-kata itu.

Setelah melewati tempoh perpisahan dengan Aqil, dia semakin ‘tenat.’ Emosinya seolah-olah tidak mampu dikawal lantaran parahnya sebuah hati luka yang disimbah cuka. Berahinya pada makanan tidak ada lagi. Setiap apa yang ditelan akan termuntah keluar semula dengan linangan air mata. Malah, secara tidak sedar, dia sering menghentak-hentak betisnya pada meja berkaki rotan. Kesan lebam yang memanjat betis bagaikan tidak terasa lagi sakitnya kerana luka di hati lebih memakan diri.

Kewarasannya mula dirantai emosi. Dia seperti hidup dalam khayalan. Tindak-tanduknya sering menambahkan lagi sebuah siri duka. Mula-mula, dia menempah jubah pengantin dengan duit PTPTN secara senyap-senyap, takut dihidu emaknya. Kemudian, dia memesan cadar, sarung bantal dan pakaian-pakaian baru melalui katalog sebagai persiapan perkahwinan. Kesemua barangan itu disimpan secara sembunyi dalam almari berkunci.

Aqil sesekali datang ke rumah untuk menjengah setelah mendapat tahu daripada ibu dan abahnya mengenai perubahan sikapnya yang semakin menggusarkan. Tetapi dia tidak pernah melangkah bendul kamarnya ketika jejaka itu datang. Dia berasa dendam. Perasaannya sukar sekali untuk ditelah.

Dia juga tidak lagi ke universiti tempat dia belajar. Ibu dan abahnya telah membuat permohonan kepada pihak universiti untuk menangguhkan semester pengajian lantaran emosinya yang begitu mengekang. Segala-gala yang dilakukan hanyalah mengurus perihal perkahwinannya yang tidak kesampaian disebabkan ketidaksabaran serta kegoyahannya untuk setia menjadi ‘sang penunggu.’

Dia kembali merenung muka bujur yang cengkung, suram dan dilinangi air mata dalam cermin di hadapannya. Menyedari mukanya mulai berbahang hangat, cepat-cepat dia menyeka air mata yang berjujuhan di pipi. Segera dia bangun, mencapai kamera digital di atas rak buku dan menangkap gambarnya sendiri beberapa keping.

Puas. Dia menanggalkan jubah tersebut dan menggantikan dengan pakaian biasa. Jubah itu digantung dengan penyangkut, kemudian disimpan ke dalam almari untuk dipakai semula keesokan harinya, dan hari-hari seterusnya.

‘Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.’-Hamka

TAMAT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s