Inti Karipap

Seorang teman bertanya: Mengapa sudah agak lama tidak dipaparkan karya terbaru? Saya menjawab: Karyanya ada, tetapi tidak diposkan sebagai entri baru ke dalam blog ini.

Biar dahulu saya simpan karya itu di hati saya. Supaya tenang seketika. Saya digodam kecaburan, buat waktu ini saya kira. Saya masih belum miliki kekuatan untuk menggerakkan tangan menyusul tindakan terhadap karya saya itu. Bukan kerana tidak miliki keberanian, tetapi tidak punya kekuatan.

Supaya tidak bersawang teratak saya ini dek sawang, maka saya perturunkan sebuah tulisan yang saya kongsikan dengan ‘adik-adik’ tersayang. Intinya boleh dikutip bagi mereka yang berkeinginan mempelajari cerpen, berminat dengan cerpen, berhajat menjadi penulis atau sewaktu dengannya. Jika tidak, abaikan sahaja tulisan ini, atau mungkin ianya hanya cebisan sampah yang perlu dihumban kembali ke tempat asalnya- bakul sampah!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ketika mahu menunggang awan sebentar tadi, pantas sahaja tangan ini mencapai buku ‘Penulisan Cerpen: Daripada Konvensi ke Inovasi’ tulisan Othman Puteh. Ralit seketika, kemudian membatalkan niat mahu menunggang. Simpan dahulu awan di bawah bantal. Ada baiknya berkongsi tentang gagasan dalam buku ini dengan adik-adik.

Menyentuh berkenaan cerpen yang baik. Cerpen yang baik itu bagaimana? Untuk perbincangan ini, adalah baik andainya kita mula berkenalan terlebih dahulu dengan cerpen berbentuk konvensional, iaitu karya yang lazim disiarkan dalam kebanyakan akhbar dan majalah. Malah, suatu langkah yang bijak pula untuk kita memahami bentuk cerpen konvensional ini sebelum kita pergi lebih jauh untuk berkenalan dengan cerpen bentuk baru yang memperlihatkan kelainan daripada pelbagai aspek, sama ada daripada aspek struktur cerita mahupun langgam penceritaan.

Sebagai suatu ragam kesusasteraan yang konvensional, cerpen merupakan susunan kalimah yang mengongkong peristiwa-peristiwa cerita yang mempunyai tiga bahagian penting, iaitu:
* Bahagian permulaan cerita;
* Bahagian pertengahan cerita;
* Bahagian pengakhiran cerita.

Setiap bahagian daripada cerpen mempunyai fungsinya yang tersendiri. Bahagian permulaan akan bertindak sebagai memperkenalkan cerita. Dalam hal ini, termasuklah memperkenalkan watak, latar, suasana cerita, sikap watak atau perwatakan, membayangkan gagasan cerita dan semuanya itu dihantar dengan teknik penceritaan yang menarik.

Pada bahagian pertengahan cerita pula, watak-watak itu akan berkembang, bertindak, saling beraksi, mencetuskan pelbagai suasana, berhadapan dengan konflik, penuh kerumitan, permasalahan dan kesemuanya itu menjurus ke tingkat konflik yang tertinggi atau dikenali sebagai klimaks atau puncak.

Begitu cerita melewati bahagian pertengahan, maka cerpen berada dalam bahagian pengakhiran bagi penutup cerita ataupun penyelesaian semua konflik yang tercetus sebelumnya. Bagaimanapun, adalah tidak mustahil sekiranya konflik tidak dapat diselesaikan, watak-watak masih berada dalam kemelut hidup, tetapi cerita sudah pun berakhir. Jika ini yang terjadi, maka terserahlah kepada pembaca memberikan penyelesaiannya. Justeru, tidak mustahil pula penghayatan yang berkesan amat bergantung kepada latar pendidikan, pengalaman dan cita rasa pembaca sendiri untuk memberikan tafsiran dan tanggapan.

Haruslah diingat bahawa setiap cerpen yang dihasilkan mempunyai tema yang khusus. Tema merupakan inti cerita, atau bagi kakak-inti karipap. Ia merupakan gagasan utama yang ingin dihantar atau diucapkan oleh pengarang melalui ceritanya. Bagi pembaca, tema atau gagasan utama ini hanya diperoleh sesudah menghayati keseluruhan cerpen.

Kita pula harus menyedari istilah cerpen itu sendiri yang bermaksud cerita pendek. Dengan kata-kata lain, cerpen ialah ragam kesusasteraan yang dapat dibaca hingga selesai dalam jangka waktu yang relatif pendek. Tidak mustahil, dalam sekali duduk cerpen itu selesai dibaca. Justeru, bentuknya pendek- sekitar 8 hingga 12 halaman kertas berukuran A4- maka cukuplah daerah litupnya kecil dan terbatas serta tidak memungkinkan ia menemukan ruang lingkup yang luas seperti kategori novel. Apatah lagi, cerpen biasanya memusatkan ceritanya kepada seorang watak dengan satu permasalahan hidup yang dilaluinya. Lantas, ceritanya cukup padat, tiada bahagian yang longgar, apatah lagi menampilkan hal-hal yang remeh-temeh, yang tidak signifikan atau tanpa makna.

Setiap bahagian cerpen itu, sama ada pemilihan kata-katanya, pembinaan struktur kalimahnya, penyisipan majas atau kata kiasannya, tanda bacanya dan nada ceritanya tiada yang sesia, membazir dan boros. Jimat dan cermat. Kesemuanya itu ada fungsinya, sama penting untuk ikut menggerakkan perkembangan cerita, atau mengungkapkan watak dan perwatakan, menimbulkan suasana dan nada cerita serta menyerlahkan kemunasabahan dalam segala perilaku watak, sesuai dengan hukum sebab akibat.

Dapat disimpulkan di sini bahawa menulis cerpen merupakan cara menulis yang cukup terpilih dan paling ekonomis dalam banyak aspek. Di sinilah letaknya ciri-ciri cerpen yang baik. Justeru, setiap calon penulis, yakni cerpenis, wajarlah memberi perhatian kepada aspek dan ciri-ciri ini.

Di samping itu, sikap selektif amat penting. Ini kerana kita akan menceritakan hal-hal yang penting sahaja. Apatah lagi kita hanya ada masa yang singkat. ada ruang yang terhad, dan oleh sebab itulah, kita tidak boleh berkata-kata sesuatu yang tidak mustahak.

Pengalaman hidup dalam persekitaran yang kita saksikan atau alami, watak-watak manusia, binatang dan objek lain yang berada di jagat raya ini adalah fakta. Fakta itu tentunya sudah dipilih secara bijaksana dan tidak boleh ditulis atau dilaporkan begitu saja kerana ia tidak akan lahir sebagai cerpen. Justeru, fakta-fakta tersebut harus diadun dan dibaurkan dengan imaginasi. Pada tahap ini, seseorang haruslah kreatif dan inovatif. Daya imaginasi harus tajam dan berupaya mengolahnya dengan baik, indah dan menarik. Di sinilah pula pentingnya menguasai bahasa sebagai alat pengucapan pemikiran dan perasaan.

Sekiranya idea cerita sudah diperoleh, maka mulailah berusaha mendapatkan tema atau gagasannya (inti apa; inti daging? ayam?) Tanyalah kepada diri sendiri. Buatlah satu catatan ringkas dan padat bagi menggambarkan tema cerpen tersebut. Contohnya: Mencampuri orang yang rasuah akan merosakkan diri, lambat-launnya. Atau mungkin dalam bentuk majas: ‘Rosak bawang kerana jambaknya.’

Catatan padat ringkas tentang tema ini akan banyak membantu dalam usaha memperkembangkan cerita. Cerita yang ditulis akan menjadi jelas dan tdak akan kesasar matlamat penceritaannya. Ia menjadi landasan atau panduan untuk terus berkarya hingga selesai. Sebagai pemula atau calon pengarang, adalah bijaksana dan munasabah untuk menyediakan kerangka cerita secara kasar sebelum memulakan penulisan. Sebaiknya ia merupakan satu perenggan yang terbina daripada 10 hingga 15 baris. Usah terlampau panjang. Yang penting, kerangka itu jelas memperlihatkan bahagian permulaan cerita, bahagian pertengahan dan bahagian pengakhiran cerita.

Kakak rasa, cukup sekadar itu dahulu. Akan bersambung di lain waktu.

Salam sayang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s