Guru Lembut?

SUDAH lama tidak menulis di sini. Bukan tidak ada idea, tetapi mungkin lebih terikutkan emosi. Percambahan peristiwa yang berentetan dalam hidup sejak akhir-akhir ini kian meneguhkan alasan untuk tidak menitiskan mangsi (dakwat).

Sejak berada di Pulau Mutiara, pelbagai kejadian menarik yang terjadi telah mendorong hati untuk kembali berkongsi pengalaman di sini. Lagi pula, suami beria-ia benar menyuruh saya mengemaskini blog yang katanya sudah lama semak dan usang, akibat terlalu lama dibiarkan. Dengan murah hati, dia sekali lagi menukar reka bentuk blog ini yang menurut saya sebelum ini; ‘Tidak cantik.’ Sebagai penghargaan buatnya, maka saya menulis coretan pertama ini bagi tahun 2011.

Keadaan saya di sini baik-baik sahaja. Baru tiga minggu bergelar guru secara rasmi di sebuah sekolah menengah harian perempuan. Dua minggu pertama di sekolah adalah suatu ‘penyeksaan’. Ya, terpaksa membiasakan diri dengan suasana yang dirasakan terlalu rigid dan menekan. Masuk minggu ketiga, alhamdulillah. Saya kian boleh menerima keadaan ini.

Banyak persiapan dan persediaan yang perlu dibekalkan sebelum melangkahkan kaki ke sekolah, khasnya kekuatan dalaman. Doa perlu sentiasa diiringkan agar pengajaran dapat disampaikan dengan baik, dan pelajar pula dapat menerimanya, serta dibukakan pintu hati untuk berubah. Sekolah saya bukan sekolah harian biasa. Cabarannya mengalahkan cabaran berada di Kuala Lumpur. Pelajar-pelajarnya sendiri lebih ‘sosial’ berbanding pelajar-pelajar di ibu kota. Kerana apa? Kerana ibu bapa mereka di pulau ini kurang mendalami agama. Apabila ibu bapa sendiri tidak kisahkan diri mereka sendiri, anak-anak apatah lagi.

Saya sering mendengar pelbagai cerita daripada pelajar. Meski saya seorang guru baru, mereka tidak segan silu menceritakan apa pun masalah yang dihadapi oleh mereka, termasuklah bercerita tentang teman lelaki. Saya hendak memahami mereka, justeru saya mendengar dengan teliti, bukan terus menghukum mereka sebagai salah.

Menurut seorang pelajar, keluarganya tidaklah terlalu ‘kuat agama’. Ibunya baru hendak belajar bersolat dan bertudung. “Ayah saya lagilah, tak ada apa langsung!” Lihat, seorang anak sebenarnya sedang memerhatikan perlakuan ibu dan ayahnya, dan mampu pula menilai tahap agama mereka meski dia sendiri bukanlah seorang yang begitu mengambil berat tentang agama.

Saya berasa sangat kasihan apabila kebanyakan guru di sekolah itu, termasuklah ustazah, mengambil pendekatan ‘brutal’ dan garang kepada pelajar. Apabila guru-guru bersikap begini, saya kira pelajar akan menjadi sukar untuk mendampingi kita. Dan sampai bila pun, masalah mereka tidak akan mampu kita selami, dan selamanya kita hanya akan menjadi ‘penghukum’ bagi setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Penolong kanan sering berkata begini kepada saya:

“Saya nak hantar Juwairiah pergi kursuslah. Nak bagi jadi kuat dan keras.” Saya senyum sahaja mendengar kata-kata ini. Saya tahu, pada pandangan mata mereka, saya adalah seorang yang ‘lembut’ dan mungkin ‘lembik’. Saya tidak kisah itu. Biarlah apa pun yang mahu mereka katakan. Hakikatnya mereka belum benar-benar mengenali peribadi saya. Saya yakin, sesiapa yang mengenali saya secara dekat, pasti akan melihat kekerasan dan kekebalan hati saya di sebalik kelembutan yang dianggap mencacatkan sebuah peribadi seorang guru.

Baru-baru ini pula, seorang ustazah menegur. “Juwairiah, di sekolah ini kena ‘brutal’ sikit. Tak boleh lemah-lembut.” Saya hanya mampu melakar senyum. Saya malas mahu berbantah-bantah. Biarlah.

“Eh, tahu tak pelajar mana yang paling tak puas hati dengan Ju?” Seorang guru senior tiba-tiba mencelah. Guru-guru lain tertanya-tanya.

“Asmira. Dia kata, tak puas hati betul dengan Cikgu Juwairiah tu. Marah mereka dan cakap sesuatu yang memedihkan.”

Pelajar itu memang terkenal baran. Apabila saya boleh memarahinya, itu bermakna saya memang seorang yang tegas dan garang. Saya pasti, guru-guru itu tidak akan pernah menyangka saya mampu melakukannya. Saya diam sahaja dan membiarkan guru itu terus bercerita. Pelajar itu sebenarnya dimarahi untuk mendisiplinkan mereka di dalam kelas. Saya memang telah memarahinya bersungguh-sungguh. Menurut guru kelasnya, pelajar itu pernah menjerkah kembali guru yang memarahinya, tetapi tidak saya. Tetapi kini, hubungan saya dengan pelajar itu kembali baik. Saya ada cara saya tersendiri. Kenyataannya, saya sungguh tidak gemarkan pandangan guru-guru lain yang menganggap saya terlalu ‘lembut’. Lembut itu peribadi luaran saya. Salahkah andai saya berkelakuan begitu? Sungguh mudah sekali mereka menghukum berdasarkan rupa fizikal seseorang.

Tidak mengapalah. Biarlah saya berlemah-lembut. Sekurang-kurangnya saya tahu masalah pelajar dan senang mendekati mereka. Buktinya, mereka selalu datang menemui saya dan terus sahaja menceritakan masalah peribadinya. Saya sering terfikir; kalau semua ustazah mengambil pendekatan garang dan menjerkah pelajar, bagaimana kita mahu dekat di hati mereka? Bagaimana kita mahu sampaikan dakwah dan mendidik peribadi mereka?

Dalam tempoh penyesuaian diri ini, saya teringatkan kata-kata seorang guru sewaktu saya sedang menjalani praktikal mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Menurutnya, tahun-tahun pertama di sekolah adalah tahun kita mengenali palajar. Kita harus mengambil tahu peribadi dan latar belakang mereka. Sememangnya saya selesa menurut pesanan itu. Dengan demikian, barulah kita dapat melihat masalah sebenar pelajar; bukan masalah akademik semata, tetapi lebih luas daripada itu. Seterusnya, kita dapat merancang tindakan untuk mendidik dan ‘mengislah’ mereka, insya-Allah.

Bagaimana pun, ketegasan dan kegarangan perlu tetap ada. Dan itu perlulah bertempat.

 

2 thoughts on “Guru Lembut?

  1. wah……ustazah punya cara mengajar memang saya akan ingati………memangitulah cara yg dituntut untuk melembutkan hati pelajar……..

  2. Slm.. sy sendiri seorang guru.. dan sy percaya setiap guru ada skill masing2 untuk menghadapi pelajar2.. biasalah apabila guru lama menuruh cikgu-cikgu baru agar lebih ‘keras’.. he2. Sy juga menggunakan pendekatan ‘lembut’ bila mula-mula mengajar..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s