Belajar Mandiri

HAMPIR minggu kelima mendiam di negeri atas air ini. Keserasian mula timbul sedikit sebanyak. Dahulu, sewaktu ‘dipaksa’ memandu datang ke sini, hati jadi sangat cuak, rimas dan penuh tekanan. Jalannya kecil, tiga baris pula, kemudiannya sesak dan padat. Sikap-sikap pemandu yang suka menggunakan senjata ‘hon’ tambah mengecut perutkan diri.

“Tak suka, jalan sempit!” Saya membentak.

“Jalan sempit atau diri kita yang tak mahu serasikan diri dengan keadaan?” Suami saya membalas. “Seseorang yang bermotivasi tinggi akan sentiasa berlapang dada dan menerima keadaan apa pun yang dialaminya. Dia tidak akan sentiasa menyalahkan sesuatu, tetapi akan berusaha menyesuaikan diri,” sambungnya sambil memerhatikan saya yang sedang memandu dengan muka yang masam mencuka.

Sering begitu. Dia suka memberi kata-kata motivasi. Dalam situasi apa pun, itulah dia. Suka mengajak saya memandang sesuatu dari kaca mata hikmah. Ketika itu, saya bagai cacing kepanasan lantaran ‘dipaksa’ memandu di ‘planet lain’. Dan malamnya pula, sekali lagi saya terpaksa berbuat demikian. Ini kerana, setelah dia pulang, saya akan memandu ke sekolah sendirian. Dan mungkin ke tempat lain juga tanpanya.

Malam itu, saya memandu dengan tekanan yang berganda-ganda. Memandu di negeri ini perlukan kepantasan dan ketangkasan, sedangkan saya belum pun memandu sampai enam bulan. Kolam mata saya bergenang dengan air hangat. Beberapa kali saya dimarahi kerana memandu dengan pemanduan yang berbahaya. Tekanan sungguh!

Itu cerita empat minggu yang lalu. Sekalipun saya belum terlalu berani, sekurang-kurangnya keyakinan untuk memandu sudah tumbuh tanpa goyah. Minggu pertama suami meninggalkan saya, saya bersiar-siar ke Batu Ferringhi bersama seorang teman serumah (juga seorang isteri), kemudian langsung ke Teluk Bahang. Sepanjang perjalanan, saya mengomel; “Sungguh, tak akan jejak lagi ke sini!”

Jalannya berliku-liku, selekohnya sangat tajam dan bercerun curam. Hati ini benar-benar cuak. Sehingga kini, saya belum berkeyakinan untuk ke situ lagi dengan memandu sendiri. Pemandangan pantainya memang cantik, tetapi laksanya… maaf, langsung tidak sedap!

Minggu seterusnya, kerana tidak dapat pulang ke kampung disebabkan program sekolah yang berlarik-larik setiap hujung minggu, saya dan teman-teman serumah sekali lagi meraun di negeri atas air ini. Kali ini ke Bayan Lepas. Di situlah berlakunya sebuah tragedi hitam yang pertama kali saya lalui. Tetapi hendak kata hitam sangat pun, tidak juga.

Saya tidak perasan ada kereta dari arah kanan. Sangka saya, itu jalan sehala. Dan secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi ‘prakkk!’. Saya telah melanggar sebuah kereta! Hati jadi cemas. Kereta itu berpatah balik dan meminta saya berhenti. Sememangnya saya tidak berniat untuk melarikan diri, dan saya memberi isyarat agar berhenti di hadapan.

Seorang lelaki Cina. Mujur dia tidak marah. Dalam keadaan begitu, dia masih boleh tersenyum. Cuma dia meminta saya membayar sedikit; RM 100. Setelah ditimbang-timbang, jumlah itu sebenarnya tidak memadai bagi kerosakan keretanya itu. Mungkin dia belas melihat pemandu yang serupa kanak-kanak ini? (Hehe).

Kereta saya tidak apa-apa. Tidak ada yang kemek. Cuma nombor platnya sudah bertukar menjadi abjad Cina; ‘KCV ……’

Pada mulanya, saya gemuruh juga. Tetapi saya teringat kata-kata suami; “Biasalah. Selagi tak kemek atau calar, atau tak langgar kereta orang, tak terer lagilah tu.” Saya gagahkan diri untuk teruskan pemanduan pulang. Alhamdulillah, segalanya lancar. Dan saya makin berhati-hati.

Minggu-minggu seterusnya, saya dan teman pasti akan keluar juga. Sengaja mahu membiasakan diri dengan suasana Pulau Pinang yang padat dan sesak. Dan menulikan telinga terhadap hon-hon pemandu yang sukakan ketergesaan. “Biaq pi kat hang. Sapa suruh dok belakang aku.” Itulah kata-kata yang sering meluncur dari bibir teman saya itu.

Hari ini juga, kami berdua sengaja meronda-ronda. Sehingga sesat. Ke Jelutong, hampir ke Bayan Lepas, malah sesat masuk ke Uni. Sains Malaysia (USM). Tetapi pemanduan kali ini tiada lagi rasa cuak. Sudah wujud keyakinan.

Kalau cuak pun, saya akan tetap terus memandu. Insya-Allah.

5 thoughts on “Belajar Mandiri

  1. salam, tahniah ju..=) berjaya memandu sendirian..
    sngt setuju..laksa kt c2 xsedap..hehe
    dh penah p sn, jln2 berkelah bwk anak2 nakan mandi-manda…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s