Penjara Skeptis dalam Majalah Fardu Ain

Petikan daripada Majalah Fardu Ain keluaran 1:

Cerpen: Penjara Skeptis

Oleh: Juwairiah Md Jamil

LANGIT mengembangkan dadanya yang kebam. Mega kumulus berapungan, tidak menzahirkan isyarat mengandung hujan. Namun, bagi Dzun Nun, hatinya umpama dihempas gelora. Ribut sudah sekian lama membadai tepian rasa.

Dzun Nun leka memerhati itik-itik peliharaan ibunya yang sedang menyudu air longkang. Sesekali, tumbuh rasa geli dan loya di tekaknya saat melihat air longkang yang berona kelabu kehijauan itu dipenuhi sisa-sisa makanan, malahan najis binatang.

Tanpa diduga, seekor lalat hinggap di pipi, kemudian menghurung kepala. Dzun Nun segera menepis. “Isy, lalat ni! Sudahlah hinggap di tempat kotor, habis dibawanya melekat ke kepalaku. Entahkan tahi itik atau apa?” Dzun Nun sungguh-sungguh diterkam geli-geleman. Diseka rambutnya berkali-kali, lalu dicapainya tuala di belakang pintu. Dia terus mengatur langkah ke kamar mandi.

Dia usai mandi hanya setelah sejam berlalu. Bererti, dia akan mandi lebih daripada satu jam! Sejurus kemudian, dia keluar dari bilik air dengan kecut-kecut di seluruh tubuh.

“Nun, apa kena dengan kau? Asyik mandi dua puluh empat jam! Kotor sangatkah badan kau?” Ibunya yang cekatan menyiang siakap untuk hidangan tengah hari, menegur tingkah terunanya itu. Dia sekadar menggeleng memerhatikan resam Dzun Nun yang keterlaluan mengidolakan mandi. Hampir setiap 30 minit, dia akan ke bilik kecil di hujung dapur itu. Sungguh, itulah rutin harian yang tidak dapat disisihkan daripada dirinya.

Untuk mengetahui cerita selanjutnya, sila dapatkan Majalah Fardu Ain keluaran pertama dengan harga RM 10.00 bagi Semenanjung Malaysia, dan RM 12.00 bagi Borneo.

Bagaimanapun, terdapat sedikit ralat pada bahagian akhir cerpen yang mungkin merupakan kesilapan teknikal yang tidak disedari oleh penerbit (kerana setiap manusia punyai kelemahan).

Untuk itu, saya memasukkan bahagian yang tidak terdapat di dalam majalah tersebut supaya pembaca tidak ‘terawang-awang’:

“Baiklah, aku faham. Sekarang, mari kita bincangkan jalan penyelesaiannya. Mahu?”

“Bagaimana?” Dzun Nun seakan tidak sabar. Dia terlonjak keriangan.

Luqman menarik nafas dalam-dalam. Jeda mengambil tempat seketika. “Sebelum itu, aku mahu ceritakan sebuah kisah yang pernah berlaku kepada salah seorang sahabat aku di Mesir sana.”

Menurut Luqman, sahabatnya itu turut menghidap penyakit was-was. Pada mulanya hanya dalam bab wuduk. Namun, penyakit itu merembet pula dalam ibadah lain, seperti solat, membaca al-Quran dan bersuci. Badannya makin hari makin susut, dan fikirannya sering terganggu. Hidupnya dirasakan sempit dan menyulitkan.

“Kau harus tahu, Nun. Was-was adalah senjata ampuh syaitan untuk merosakkan iman kita. Strategi awalnya adalah untuk menyerang ibadah, dan ia tidak akan terhenti di situ. Lambat-laun, sasaran utamanya untuk menembak akidah kita akan terkena.” Suasana lengang. Sesekali terdengar burung-burung yang terbang labuh bersiulan.

Luqman kemudian menyambung. “Bukhari dan Muslim pernah meriwayatkan sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda, ‘Syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu, lalu bertanya: ‘Siapa yang menciptakan ini? Siapa yang menciptakan itu?’ Sehinggalah ia bertanya: ‘Siapa yang menciptakan Rabmu?’ Jika sampai terjadi begini, maka mohonlah perlindungan kepada Allah dan berhentilah (mendengar bisikan itu).’ Lihatlah betapa liciknya syaitan memperdaya kita, Nun.”

Dzun Nun angguk. Mengerti. “Apa lagi yang dialami oleh sahabat kau itu, Man?”

“Dia pernah menyuarakan hasratnya untuk membunuh diri disebabkan akidahnya yang mula diserang bertubi-tubi. Dan akhirnya, kau tahu apa terjadi?”

Dzun Nun menggeleng. Keningnya bertaut dan dahinya penuh kerut.

“Dia gila. Pengajiannya terpaksa dihentikan. Tapi bagi aku, itu satu cara Allah mahu selamatkannya.”

“Kenapa pula?”

“Iyalah. Allah selamatkannya dengan menjadikannya gila. Bukan menjadi seorang murtad.”

Dzun Nun menelan liur berkali-kali. Matanya merenung kejauhan. “Takutnya aku, Man. Tolonglah aku . . .  .” Nadanya bergetar. Tubuhnya diselimuti seram sejuk.

“Baiklah. Untuk tangani masalah ini, kau harus berpegang kuat pada satu prinsip; asal sesuatu benda adalah suci, kecuali terdapat tanda-tanda yang menunjukkan sebaliknya. Contohnya, baki duit tadi. Cuba tengok, ada kau nampak tahi?”

Dzun Nun segera mengeluarkan gumpalan tisu dari dalam kocek seluarnya. Dia meneliti duit yang terkandung di dalamnya. Dia kemudian memandang Luqman seraya menggeleng.

“Tak ada sebarang bukti yang menunjukkan najis, bukan? Sekarang cuba tengok, ada nampak bulu binatang?”

Dzun Nun mematuhi arahan itu. Dia menggeleng lagi.

“Tak ada. Jadi, kenapa perlu basuh? Kau sendiri tidak melihat sebarang tanda yang meyakinkan. Kalau kau terlihat bulu binatang sekalipun, kau sendiri tidak tahu bulu binatang apa. Banyak binatang yang berbulu di dunia ini.”

“Jadi, apa yang mesti aku lakukan?”

“Abaikan was-was yang datang dalam fikiran kau itu. Jangan endahkannya. Teruskan hidup seperti biasa. Kau harus yakin, selagi tidak kelihatan apa-apa tanda yang membuktikan sesuatu, jangan pedulikannya. Contoh lain, selagi seluar yang kau pakai ini terang-terang tidak terseret tahi, kau boleh pakai untuk solat.” Luqman menuding jari pada seluar yang tersarung di kakinya.

Mata Dzun Nun mula bercahaya. Seperti sudah ada keyakinan dalam dirinya. “Ada cara lain lagi?”

“Dekatilah ilmu. Selama mana kita menjauhi ilmu, selama itulah kita akan mudah ditipu syaitan.” Luqman menepuk-nepuk bahu Dzun Nun. Dia memancarkan senyuman keyakinan bahawa sahabatnya itu mampu membebaskan diri dari penjara was-was dengan kunci yang ada dalam genggamannya sendiri.

“Insya-Allah, Man. Aku akan cuba berusaha. Doakan aku.”

Luqman sekadar mengangguk. Sedang di hatinya berbisik, ‘Tuhan, berikan kekuatan kepada sahabatku ini dalam menghadapi godaan dan tipu daya syaitan.’

TAMAT



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s