Cerpen ‘Prejudis’ dalam Majalah Fardu Ain Edisi 2

Cerpen: Prejudis

Oleh: Juwairiah Md Jamil

PERJALANANNYA sudah memakan masa hampir tiga jam setengah. Urat belikatnya terasa lenguh. Kakinya pula semacam kejur. Ecah lega apabila melihat bas yang dinaikinya membelok ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Dia mahu segera membersihkan diri dan bersolat zohor.

Sebaik keluar dari surau, dia gesit melangkah ke deretan gerai yang menempatkan pelbagai jenis barangan jualan. Namun, matanya lekas teracung pada aneka buah yang pancawarna tersusun elok di atas rak-rak kayu yang disediakan. Dia bercadang mahu membeli sedikit buah-buahan sebagai oleh-oleh.

Sudah hampir setahun dia tidak berkesempatan pulang ke desa. Bukan dia enggan, tetapi tugasnya sebagai aktivis mahasiswa di kampus menyebabkan dia terpaksa mengekang dan memendam buat sementara keinginannya itu. Bersempena dengan cuti pertengahan semester, dia sengaja mengambil peluang untuk menjenguk keluarga di kampung yang sejak akhir-akhir ini kerap benar mengadu rindu.

Dia menapak ke sebuah gerai. Beberapa jenis jambu biji menarik perhatiannya. Antaranya ialah jambu biji delima, jambu biji susu dan jambu biji manis. Marga jambu air seperti jambu mawar dan jambu semarang yang terbungkus elok membuatkan liurnya tambah kecur. Tidak sabar mahu menikmati kerapuhan isinya kala diunggis.

Entah kenapa, dia mudah terpesona pada jambu, terutama jambu biji. Buah tropika yang berasal dari spesies Myrtaceae itu diketahuinya mengandungi vitamin C tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah oren, dua kali ganda lebih tinggi daripada buah betik dan 10 kali ganda lebih tinggi daripada buah pisang. Ecah juga tahu ia baik untuk mengubati sakit perut, cirit-birit, mengubati kencing yang kerap, luka-luka dan sakit kulit.

Meski agak mahal, Ecah membayar harga dua jenis jambu yang digemarinya, iaitu jambu biji delima dan jambu mawar. Dia turut mengambil satu bekas kecil rojak untuk dicecah bersama-sama hirisan jambu itu nanti.

‘Alangkah sedapnya!’ Hatinya berbisik.

*******

PAGI-PAGI lagi, Ecah sudah menggatih basikal ke rumah toknya. Rumah yang terletak di antara sawah padi yang menguning dan berlatarkan bukit-bukau yang menghijau itu sering mendamaikan hatinya. Dia kayuh basikal berhati-hati kerana jalan kampung itu sedikit becak dek hujan semalam, dan laluannya kecil. Hanya boleh memuatkan sebuah kereta dalam satu-satu masa. Keadaan itu bukanlah masalah kerana kebanyakan penduduk di situ lebih gemar mengenderai motosikal.

“Assalamualaikum. Tok, oh, tok!” Ecah menongkat basikalnya di garaj. Dia mengambil seplastik jambu mawar dari dalam raga.

Seorang wanita menjengulkan kepalanya dari tingkap yang terbuka. Mata tua itu terkenyit-kenyit memetia roman muka di hadapannya. Ecah pantas mencapai tangan kecut itu, lalu diciumnya. “Ini Ecah, tok. Cucu tok.”

Toknya menggaru-garu kepala yang sudah putih seluruh itu seraya menjawab salam yang sekian lama dihiasi jeda. “Kau, Ecah? Bertuah sungguh. Tok ingat kau dah tak mahu jejak rumah buruk ni.” Toknya seakan-akan merajuk.

Ecah tertawa sebelum merangkul tubuh kurus melidi itu. “Maafkan Ecah, tok. Ecah bukan tak mahu balik, tapi Ecah ada banyak kerja di sana. Ecah rindu sangat pada tok, sebab itulah Ecah balik.”

Ecah mengunjukkan plastik jambu yang dijinjitnya.

“Ambil mana jambu ni?”

“Ecah belilah, tok. Untuk tok tersayang.”

“Beli di mana?”

“Dekat tol. Di kawasan rehat.”

“Oh! Pergilah letak di dapur.”

Ecah akur. Dia meletakkan plastik buah itu di atas para dapur toknya. Dia sempat melihat batas-batas kecil tanaman sayur dan beberapa pohon buah-buahan dari tingkap kaca di situ. Ada terung, kacang panjang, jagung, pohon buah langsat, dukung dan manggis.  Toknya rajin benar berkebun buat mengisi masa senggang. Kerana itu, toknya masih afiat sehingga sekarang. Tubuhnya tidak dihinggapi sebarang penyakit yang lazimnya dihidapi oleh golongan seusianya.

“Rajin tok tanam sayur. Setahu Ecah, tok tak berapa gemar kacang panjang dan terung. Tok nak jualkah?” Ecah hairan melihat sayuran yang menjadi pilihan toknya untuk ditanam. Toknya sendiri jarang menjamah dua jenis sayuran itu. Angin, katanya.

Ecah menolak daun pintu yang menghala ke batas sayur. Dia mahu lihat dengan lebih dekat buah keringat toknya itu. Sebaik memijak tanah gembur itu, angin pagi membusa nafasnya ke muka. Hujung tudungnya berkibar deras bagai bendera Malaysia yang tersangkut di hujung tiang. Ecah rasa segar-bugar. Suasana sebegitu tidak dapat dinikmatinya di bandar. Rindunya benar-benar terubat.

“Tak adalah. Saja tanam. Tok memang tak berapa makan, tapi orang kampung makan. Ramai juga yang datang kutip. Tok sedekah saja.”

“Kenapa tak tanam sayur yang tok makan?”

Toknya memuncungkan bibir ke suatu arah. “Itu, pucuk putat ada. Jantung pisang pun ada. Boleh dibuat ulam. Tok tak harap sangat sepupu kau, si Ali tu belikan di pasar. Bukan kau tak tahu, tok kena tengok dulu siapa penjualnya sebelum beli. Tapi Ali bukan begitu. Hentam kromo saja dia. Hah, lebih baiklah tok makan ulam. Buat kerabu pun sedap,” jelas toknya berjela.

Ketika matahari sudah naik sepenggalah, Ecah meminta diri untuk pulang. Mahu kejar solat duha. Formula utama meluaskan pintu rezeki dan menghambat keluar kepapaan.

*******

ESOKNYA, Ecah bertandang lagi ke rumah di tengah bendang itu. Harapannya untuk melihat jambu mawar yang dibelinya itu telah luak dimamah oleh toknya. Hampa. Bukan setakat tidak usak, malah plastik itu langsung tidak disentuh. Bagaimana dia meletakkan plastik buah itu di atas para, begitulah kedudukannya. Tetap. Masih sama.

Ecah pulang begitu sahaja dengan sangkaan toknya mungkin akan makan kemudian.

Dia datang lagi petang esoknya, lusa, tulat dan tubin. Ceritanya masih serupa. Buahnya sudah lecuh. Yang berbeza cuma tempatnya. Sudah berubah. Tidak tetap di atas para itu lagi. Kali ini, plastik berkuap yang mengandungi lebih kurang 10 biji jambu mawar itu terpelesat di atas pangkin kayu di belakang dapur. Setahu Ecah, apa-apa yang diletakkan di situ adalah untuk dibuang.

Ecah gigit jari. Dia terpelahau. Kenapa tergamak toknya mahu membuang pemberiannya? Dia membeli buah itu seikhlas hati sebagai tanda ingatan yang tidak pernah putus di hatinya. Dia memang tahu toknya penggemar buah itu sejak dulu.

‘Tok sudah berubah selerakah?’ Ecah tertanya-tanya sendirian. ‘Atau, tok masih marah padaku kerana aku jarang dapat pulang ke kampung? Tok tawar hati agaknya.’ Ecah terus-terusan menjaring tebakan waras.

“Ecah, mari teman tok ke pasar sekejap. Tok nak beli sayur. Teringin pula nak makan gado-gado. Kebetulan kau ada.” Ecah tersentak. Dia menoleh ke arah toknya yang sudah pun menyarungkan baju kurung dan tudung yang cantik.

Ecah angguk. Dia tersenyum. ‘Nampaknya tok tidak marah padaku,’ cetus hatinya.

Ecah membawa toknya ke pasar dengan motosikal. Di ruang matanya sudah terbayang gado-gado sedap bikinan toknya itu. Rencam sayur dan kuah kacang yang sangat menyelerakan!

“Tok, sini ada sengkuang. Sayur lain pun ada. Beli di sini sajalah,” beritahu Ecah kepada toknya yang sedang leka membelek-belek pelbagai jenis sayur di sebuah gerai milik wanita Melayu tidak jauh dari situ.

Toknya mampir. Namun, sebaik dilihatnya penjual sayur itu adalah seorang lelaki Cina, dia lekas menarik lengan Ecah supaya meninggalkan gerai tersebut.

“Kenapa, tok?”

“Jangan beli di situ.”

“Iyalah, tapi kenapa? Sayur-sayur di situ elok. Ecah tengok, mak cik itu jual sayur yang sudah tidak berapa segar. Layu. Tak sedaplah nanti, tok.”

“Mereka guna baja tahi babi. Haram kita makan,” balas toknya sambil mengerling ke arah lelaki Cina tadi.

Ecah terkedu. Keningnya berkerut. “Guna baja tahi babi? Betulkah? Tok pernah nampak?”

“Seringnya begitu. Lebih baik kita berhati-hati.”

Ecah tidak berkata apa-apa lagi. Dia tiba-tiba teringat pada buah jambu mawar yang hendak dibuang toknya.

‘Disebabkan ini jugakah tok mahu membuangnya?’

Ecah rasa memang begitu.

*******

ECAH membantu toknya menyediakan gado-gado. Dia menyiang kangkung, karot dan timun. Tauhu yang dipotong kecil digoreng, dan tiga biji telur direbus. Taugeh dicelurnya kira-kira satu minit. Tidak sedap jika terlalu lembik, kata toknya.

Televisyen sengaja dipasang memandangkan rancangan kegemaran toknya, Bicara Agama sedang bersiaran. Tajuk yang dibincangkan pada hari itu adalah ‘Makanan Halal’.

Sementara Ecah memotong sengkuang, toknya menyiapkan kuah kacang. Kacang tanah, cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan dan sedikit udang kering digoreng dan dikisar. Bahan kisar tadi seterusnya dibancuh dengan air asam jawa, gula merah dan garam.

Ecah membawa mangkuk besar berisi ramuan sayur, kekacang, ubi dan tauhu kepada toknya. Kuah kacang yang sudah siap dicurahkan ke dalam mangkuk itu. Ecah menggaul sehingga sebati. Baunya menaikkan selera. Menggecarkan.

Mata Ecah sesekali memandang kaca televisyen. Dia juga tidak mahu melepaskan peluang mendengar kuliah ilmu itu. Sambil tangannya bekerja mengupas kulit telur yang siap direbus, telinganya tetap dapat menangkap setiap butiran kata yang diucapkan oleh ustaz jemputan.

Seorang pemanggil tiba-tiba menelefon untuk mengajukan soalan. Persoalan yang dikemukakan membuat tangan Ecah berhenti bekerja. “Ustaz, bolehkah kita memakan hasil tanaman yang diusahakan oleh orang bukan Islam? Seorang kawan saya memberitahu, adakalanya mereka menggunakan najis babi sebagai baja kepada tanaman tersebut. Apakah hukumnya?”

Ecah lihat toknya turut memakukan pandangan ke skrin televisyen.

“Bagus soalan ini. Realiti masyarakat kita sememangnya ‘alergik’ kepada babi. Jadi, apa-apa yang berkaitan babi akan terus dihukum haram. Sebenarnya, persoalan ini telah dibincang dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali kedua pada 12 Mei 1981. Mereka telah memutuskan bahawa baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughallazah, manakala hukum menggunakannya sebagai baja adalah harus dan makruh.”

Harus dan makruh? Ecah menanti huraian selanjutnya. Dia kembali mengupas telur sehingga habis. Lalu telur-telur itu dibasuh dan dibelah dua.

“Hasil tanaman harus dimakan kerana najis itu telah berubah bentuk kepada zat nutrien bagi pokok tersebut. Kita harus tahu, tumbuhan tidak menyerap najis seratus peratus. Zat yang diserap seperti protein, kalsium, mineral dan sebagainya bukan lagi objek asal. Kalau ia daripada najis, maka ia tidak lagi najis setelah bertukar secara kimia. Seelok-eloknya hindarkanlah jika kita tahu perkara tersebut. Tetapi Allah tidak akan menghukum atas perkara yang tidak kita ketahui.”

Ecah akui kata-kata ustaz tersebut. Dia teringat sebuah fakta ketika belajar Biologi di menengah atas dahulu. Najis binatang akan mengalami proses penguraian sebelum zatnya diserap oleh tumbuhan melalui akarnya. Objek asal, iaitu najis telah diuraikan menjadi bahan yang lebih kecil. Akar akan menyerap hanya zat yang diperlukan, sementara bahan yang tidak diperlukan akan dibuang atau ditinggalkan.

Ecah mencerling toknya. Air muka itu berubah. Riak kesal mula berkocak di hati tua itu. Ecah tahu, toknya pasti dilanda serba salah kerana berniat membuang jambu mawar yang dibelinya.

Ecah segera mengambil dua biji pinggan, lalu diletakkan di atas meja makan. Dia menyendukkan gado-gado itu ke dalam pinggan, kemudian dihulurkan kepada toknya.

“Tok, gado-gado.”

Pinggan itu disambut. Toknya tidak terus makan. Dia menggaul sayur-sayuran dengan kuah kacang pekat itu dengan sudu. Aroma gado-gado itu bagai tidak mampu memikat seleranya.

“Ecah, nanti tolong ambil jambu mawar yang kau beli di atas pangkin tu.” Toknya tiba-tiba bersuara.

“Baik, tok. Nanti Ecah buangkan.”

“Bukan. Bawa masuk ke dalam. Nanti tok buatkan kerabu jambu.” Toknya tersenyum. Terserlah sepuntung gigi emasnya.

Ecah tersingahak. Namun kemudian perlahan-lahan melakar senyum bergula.

TAMAT

 

Glosari:

Prejudis: perasaan atau pendapat yang tidak berasas terhadap sesuatu

Usak: menjadi kurang (berkurang), susut

Tulat: hari selepas lusa (tiga hari selepas hari ini)

Tubin: hari sesudah tulat

Terpelahau: kecewa, hampa

Menggecarkan: menyebabkan air liur keluar kerana kecur (sepertt ketika melihat makanan yang sedap-sedap)

Mughallazah: najis berat yang mesti disamak (iaitu anjing dan babi)

Tersingahak: terkejut


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s