Salam Menjirus Amarah

Para pelajar dewasa ini sememangnya amat nakal. Kenakalan mereka itu lebih-lebih terasa sebaik menjejakkan kaki di sekolah yang majoriti pelajarnya adalah lelaki. Mereka mudah membuatkan para guru naik darah, tetapi juga begitu senang menggeletek hati sehingga adakalanya tidak mampu menahan tawa.

Saya sendiri pernah berkali-kali disimbah amarah hingga marak menyala terhadap mereka. Ya, sememangnya selaku guru perlu bersabar. Bagaimanapun, kesabaran tetap ada batasnya. Setiap salah laku juga perlu diajar dan ditegur agar tidak berulang. Pelajar lelaki pula kebiasaannya gemar berolok-olok dan bersenda gurau hatta dalam perkara agama sekalipun. Itulah yang sering mencantas kesabaran saya. Mereka terlalu berbeza dengan pelajar zaman kita dahulu. Kadang kala saya merasakan mereka adalah makhluk dari suatu planet lain yang dipenuhi segala-gala yang tidak berperaturan dan robek adab sopannya. Apa pun, makhluk dari ‘planet’ itulah yang mesti saya asuh dan tangani. Mungkin sebagai adik, kerana mereka merasakan saya terlalu muda untuk dianggap ibu, walhal hakikatnya saya sudah menjangkau usia di hujung dewasa.

Pelajar-pelajar Islam khasnya amat tahu tuntutan memberi salam. Alhamdulillah, majoritinya mengamalkan salam di sekolah saya itu. Bahkan terdapat seorang dua pelajar bukan Islam yang amat gemar berkawan dengan pelajar Islam, turut memberikan salam kepada saya.

“Assalamualaikum, ustazah!” Gokulanath. Seorang pelajar India dari tingkatan 2. Dia juga suka memasuki kelas agama kerana tidak mahu memasuki kelas Pendidikan Moral. Semoga suatu hari nanti, Yang Maha Esa akan memberi hidayah kepadanya.

Amalan memberi salam oleh para pelajar ini adalah positif. Bagaimanapun, adakalanya mereka memberi salam tidak mengira tempat. Sewaktu sedang mengajar di dalam kelas, saya pernah dipanggil oleh seorang pelajar lelaki. Saya menghampirinya. Saya sangkakan ada soalan yang mahu ditanya.

“Assalamualaikum, ustazah!” Dia memberi salam. Saya terpinga. Kemudian lekas menjawab. Setelah itu, berkali-kali pula dia memberi salam. Juga sewaktu P&P berlangsung. Saya kepeningan.

Dan sering juga salam itu dihulurkan sewaktu saya sedang ‘mengamuk’ di dalam kelas. Berkali-kali. Mereka amat pintar mahu meredakan amarah saya, sehingga kemudiannya saya tergelak bersama-sama mereka.

Tidak jadi marah. Misi mereka berjaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s