Bahan Slide PdPR

Puisi: Milyuner Akhirat?

Sekian lama dicanang orang;
guru milyuner akhirat
dipalu beduk diketuk
biar ketahuan seluruh pelusuk
kita ini kariernya muluk
perlu dihormat wajib ditunduk.

Wajahnya rupawan nan elok
namun susuknya tempang terhincut
bankrap modal akhirat
dijoli tamak dan gila pangkat
tiada ikhlas disemat
hanya mengemis syiling-syiling A+
di dalam bilik-bilik kelas

Katanya milyuner akhirat
namun lelah menimbun pahala
malah seringan kapas di udara
seandainya pekerjaan di madrasah
mampu diikhlaskan Lillah
setiap derapan kaki ke kelas
disulam tarbiah akidah dan sahsiah
itulah saham ke jannah.

Pelajar kitalah ladang
buat dipugar dan ditanam
kita semai akidah sahihah
kita siramkan Syariat Allah
lalu dibajai akhlak mahmudah
Meski kita miskin amal
itulah hasil yang boleh dituai
menumpang syafaat pelajar.

24/08/2020,
5.33 p.m.

Penemuan

Membaca bait-bait puisi ‘Sebelum Tidur’ karya T. Alias Taib yang merupakan salah sebuah muatan dalam kumpulan puisinya PIRAMID, menyebabkan aku seperti biasa membacanya sebelum ini.

Akhirnya aku temui titik ingatan itu di kanvas sebuah buku catatan yang kusalin ketika kelas Asas Penulisan Puisi, subjek elektif yang memang sengaja aku ambil pada tahun akhir pengajian di Universiti Malaya pada tahun 2009. Tujuannya adalah untuk benar-benar mengetahui selok-belok penulisan puisi yang sememangnya dangkal dalam diriku. Tertera nama pensyarah di situ ‘Zubir Ali’, seorang komposer, penyajak, penyanyi, malah bekas vokalis Kumpulan Harmoni suatu ketika dahulu.

Meski aku mengalami kesukaran sewaktu hendak menghadiri kelasnya pada setiap Khamis jam 3.00 petang, aku gagahkan diri juga kerana aku benar-benar mahukan ilmu daripadanya. Seingatku, ketika itu, majoriti pelajar yang mengambil subjek itu adalah bukan atas kerelaan mereka sendiri, sebaliknya mereka terpaksa mengambilnya kerana sudah tiada pilihan lain; subjek lain sudah penuh.

Entahlah. Mendengar tutur bicara tokoh sarat ilmu seperti beliau membuatkan aku sering teruja menghadiri kelas. Serasaku, hanya sekali beliau sempat membaca dan memberi komentar puisiku kerana Allah lebih menyayangi beliau.

Dan tika itu, aku terpempan dan diam berjurus-jurus lantaran kelas puisiku ‘mati’ di tengah jalan.

Boleh baca tulisanku terdahulu mengenai rasa hatiku saat pertama kali mendengar pemergiannya:

https://www.google.com/amp/s/diariungu.wordpress.com/2009/03/06/belasungkawa-atas-pemergian-zubir-ali/amp/

#sekadarnostalgia

Sebuah Imbasan

Kini, sudah hampir 7 tahun aku bergelar guru secara rasmi. Dan, selama 7 tahun itu, aku telah diberi kesempatan untuk mengajar di tiga buah sekolah. Seharusnya aku bersyukur dengan pengalaman yang diberi rasa oleh Allah kepadaku itu, kerana susunannya sangat cantik, tertib dan penuh hikmah, meski pada mulanya, aku dihimpit malah dihempap beban rasa dan jiwa yang begitu menekan.

Rupa-rupanya benarlah seperti firman-Nya: “إن مع العسر يسرا”

Maksudnya: Sesungguhnya setiap kesukaran itu disertakan kemudahan.

Kesukaran yang kutempuhi pada awalnya, terutama pada tahun-tahun awal dipostingkan, hikmahnya adalah sebuah tarbiah jiwa dan kekuatan dalaman pada seorang aku yang mungkin, lembut, lembik dan benyai. Beberapa lama masa terpaksa kuambil untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran menekan, sekurang-kurangnya enam bulan pertama. Akhirnya, dengan suasana penuh kekerasan itu, aku sendiri menjadi ‘keras’ di sebalik kelembutan. Hingga aku cukup persediaan dan kekuatan untuk bersendiri dipostingkan ke sekolah kedua yang tidak pernah kuangankan; mendidik pelajar yang majoriti lelaki, bermasalah sosial, kaki pukul, kaki ganja, geng kongsi gelap, dan selainnya.

Di sini, alhamdulillah, aku telah dikuatkan Allah untuk lebih bertahan, malah sangat ‘menikmati’ pengajaranku di samping menjalinkan hubungan baik bersama pelajar-pelajar, bagaimana bermasalah pun mereka. Di sinilah juga, sehingga kini, aku tidak akan pernah lupa pelajar-pelajar yang sekalipun bermasalah, mereka sanggup menadah telinga mendengar bebelan dan nasihatku, asalkan aku. Bagaimana tajamnya kata-kataku, mereka rela menerimanya, asalkan aku. Buktinya, mereka akan sering mengunjungiku di bilik guru jika tiada guru memasuki kelas mereka, sekalipun mereka berisiko dimarahi guru disiplin, ataupun dicekak rambut kerana tidak memenuhi syarat pemotongan rambut nombor 2. Antara pelajar-pelajar itu adalah Mohd Nur Iman dan Muhammad Asraf (Angah), yang hanya kukenal mereka dan rapat denganku setelah aku menjadi guru kelas mereka tidak sampai pun setahun, ketika mereka di tingkatan 3 Murni.

Setiap pertemuan, aku akan menasihati mereka tentang solat dan puasa. Setiap kali. Dan mereka sanggup mendengarnya, asalkan aku. Jadi, bagaimana tidak aku mengingati mereka.

Akhirnya kini, aku sudah berada di Kedah, di sebuah sekolah harian berprestij. Sekolah ini langsung tidak memerlukan aku menjerit seperti askar, kecuali saat hendak melawan suara hujan yang lebat dan keras. Disuruh A, A lah yang akan mereka lakukan. Konsep yang diterapkan di sini adalah سمعنا وأطعنا. Di sini juga, aku tidak pernah sekali pun mendengar pelajar mempermainkan perwatakanku yang ‘comel’. Sekalipun tidak. Syukurlah.

Di negeriku ini, aku lebih sibuk, tetapi lebih tenang dan bahagia. Kerana di samping kesibukan itu, aku mendapat ‘tarbiah’ secara tidak langsung daripada Allah untuk membetulkan diri sedikit sebanyak, di samping membetulkan pelajar.

Inilah hidup. Sebuah proses belajar yang panjang. Sekian.